Thursday 9 May 2013

Salam : Bibir itu yang mampu mengubah segalanya






Cantik sekali wajahnya. Subhanallah. Indahnya. Kemas sekali sepersalinannya. Namun, wajahnya yang cantik sama sekali tidak menjadikan orang sekelilingnya teruja untuk melihatnya berkali-kali. Kenapa?
Hairan sekali, kerana orang-orang itu sekadar memandang dengan sekali pandang. Walhal, wajahnya sempurna. Cantik!
Langkahan kakinya diteruskan. Namun, tiada juga sesiapa yang berani menegurnya. Ahh, pelik! Keseorangan nampaknya dia. Lantas, insan yang biasa-biasa sahaja berani untuk bertemunya. Insan itu, sangat biasa. Tiada apa istimewa pada dirinya. Namun, mengapa insan ini mampu menarik pandangan orang di sekelilingnya.
Hairan! Si cantik masih musykil. Ada sahaja yang mampu mengurnya, bersalaman dengannya. Kalau tidak pun, senyuman mesra. Apa bezanya si cantik dengan insan biasa ini?
Si cantik cuba membandingkan dirinya dengan insan biasa ini. Ahh, tiada beza. Rasanya, si cantik ini lagi hebat dari insan itu. Apa yang menyebabkan orang lain sangat ringan untuk menegurnya dan ianya terjadi hanya kepada kamu dan bukan saya?
Persoalan itu dilontar lagi kepada insan biasa ini. Insan biasa ini hanya tersenyum. Cuba untuk menjelaskan namun dengan cara yang berbeza. Ianya dengan cara membuatkan si cantik ini berfikir sendiri.
Dan akhirnya si cantik nampak sesuatu yang berbeza. Iaitu, apa yang membezakan mereka adalah SENYUMAN. Ya, itulah yang membezakan mereka. Si cantik itu menambah lagi, insan biasa itu memberi SALAM. Ya, itu satu lagi perbezaan mereka.
Si cantik tidak berpuas hati. Apakah dengan memberi salam dan senyum boleh menjadi magnet kepada semua orang? Sangat mustahil. Ahh, karut!!!! Insan biasa ini senyum lagi.

 Di perjalanan, mereka bertemu dengan insan lain. Sekali lagi, orang-orang itu menegur insan biasa itu. Lantas, insan biasa ini memberi ruang dan peluang untuk si cantik ini melakukan perkara yang sama iaitu memberi SALAM dan SENYUM. Janggal sekali rasanya! Ah, tapi apa salahnya cuba. Mana tahu, selepas ini si cantik lebih menjadi magnet terhadap orang lain berbanding insan biasa ini. Hehe, itu monolognya di dalam hati.
Lantas, dilakukannya walaupun keberatan. Wah, bagai ada kuasa. Lain sungguh terasa. Dan, hatinya terasa bahagia. Namun, itu sahaja ke? Sudahlah, mungkin insan biasa ini sengaja mempermainkannya. Baik tidak mengikuti apa yang diperkatakannya. Baik jadi diri sendiri. Ahh, sudahlah!!
Sekali lagi, mereka bertemu dengan insan yang sama ketika pulang. Dan insan yang menerima salam dan senyum di awal pagi tadi jelas berbeza. Diraikan si cantik ini dengan senyuman dan ramah sekali bahasanya. Apa yang berlaku? Si cantik tertanya. Memberi salam itukan bahasa syurga dan sudah pasti si cantik diraikan sebegitu rupa. Si cantik tak faham.
Ya, salam yang diberikan adalah doa. Doa itu positif pula.

Salam

Kebaikan itu bila kita bermula dan kebaikan akan kembali balik pada kita. What you give, is what you get back. Bila kita memberi salam dan senyum, orang lain juga akan balas perkara yang sama. Salam dan senyum itulah kesan daripada apa yang telah kita lakukan. Senyum mengubah emosi diri dan juga orang sekeliling.
Jadi, dengan bibir yang kita miliki ini mampu kita mengubah segalanya! So, jom rajin-rajinkan diri memberi SALAM dan sentiasa SENYUM. Ok?

Tuesday 30 April 2013

Pentingnya Solat Berjemaah







PENTINGNYA SOLAT BERJEMAAH
1)  Mendapat pahala 27 kali ganda daripada solat bersendirian

2)  Apabila seseorang berwudhu' dengan sempurna dan berjalan ke masjid dengan niat semat-mata hendak sembahyang, maka setiap langkah yang dilangkahinya mendapat pahala dan menghapuskan satu dosanya.

3)  Apabila beri'tikaf di masjid (dengan wudhu') selepas selesai solat, para malaikat berdoa kehadrat Allah S.W.T memohon ampun untuknya. Dan dia terus beri'tikaf dalam menunggu waktu solat, dia terus diberi pahala seolah-olah dia sibuk bersolat.

4)   Apabila imam berkata "ameen" selepas membaca surah Al-Fatihah, para malaikat juga berkata "ameen" dan segala dosa yang lampau dari seseorang yang "ameennya" serentak dengan "ameen" para malaikat, dosanya akan diampunkan oleh Allah S.W.T.

5)  Akan bertemu dengan Allah S.W.T pada Hari Hisab dalam keadaan dia seorang muslim (Islam)

6)   Seseorang yang bersolat berjemaah selama empat puluh hari tanpa ketinggalan takbir pertama, mendapat dua jaminan; keselamatan dari neraka dan bebas dari nifaq.

7)  Orang yang selalu pergi ke masjid pada waktu malam gelap akan mendapat cahaya sempurna di Hari Hisab.

8) Lebih lama seseorang beri'tikaf di masjid, lebih banyak pahalanya.

9) Orang yang hati sanubarinya sentiasa terpaut dengan masjid akan ditempatkan di bawah naungan Allah S.W.T pada Hari Hisab.

Renungan bersama: "Satu jemaah yang besar adalah lebih disukai Allah S.W.T dari satu jemaah yang kecil"
Sekadar mengingat diri ini juga, insan yang lemah..

Wednesday 3 April 2013

ILMU SEJARAH : SEJARAH PETA AJAIB PIRI REIS

SEJARAH PETA AJAIB PIRI REIS
Pada tahun 1929, sekumpulan pengkaji sejarah telah membuat penyelidikan di istana Topkapi yang terletak di Konstantinopel, Turki. Di dalam istana itu, mereka telah menemui segulung peta yang berusia ratusan tahun, yang diperbuat dari kulit rusa berukuran 90 x 65 cm. Peta tersebut bertarikh Muharam 919 bersamaan 9 Mac-7 April 1513.

Di atas peta itu, mereka telah menemui beberapa perkara yang aneh dan menakjubkan. Peta tersebut memaparkan outline pantai Amerika Utara dan Selatan dengan pengukuran yang amat tepat. Peta itu juga memuatkan maklumat yang sangat terperinci mengenai Amerika, Lautan Atlantik, Eropah dan pantai-pantai Afrika yang belum dijelajah oleh penjelajah Eropah pada masanya! Satu lagi perkara yang menghairankan para pengkaji tersebut, ia juga memaparkan benua Antartika, padahal wilayah itu belum pernah ditemui sehingga tahun 1818!

Kemudian mereka terus membuat kajian mendalam lagi, mereka membuat perbandingan antara jarak pantai timur Amerika dengan pantai barat Afrika pada peta kuno itu dengan jarak yang sama pada peta yang termoden sekali. Sekali lagi mereka tercengang kerana ia adalah sangat tepat dan ini mustahil dibuat oleh pelaut zaman itu kerana kelengkapan dan teknologi mereka umumnya diketahui sangat terhad untuk membuat kerja-kerja kartografi dan pemetaan. Adakah ini mencukupi untuk mengatakan peta kuno ini benar-benar menakjubkan? Tidak. Sebenarnya ada lagi perkara lain yang begitu aneh dan tersangat luar biasa. Tersangat luar biasa bagi sebuah peta kuno yang diperbuat daripada kulit rusa.

Peta aneh tersebut dipersembahkan kepada Arlington T. Mallerey iaitu seorang pakar peta kuno. Setelah beberapa lama membuat kajian, beliau akhirnya merasa bingung dengan peta aneh tersebut. Mengapa? Ini adalah kerana data geografi pada peta tersebut tidak berada dalam posisi yang tepat.

Orang-orang disekelilingnya mula 'lega' kerana akhirnya peta tersebut mempunyai kelemahannya. Kononnya sudah pasti ada kelemahan kerana peta itu dibuat oleh pelaut-pelaut kuno yang dikatakan hanya mengenali kompas dan bintang-bintang! Jadi apa nak dihairankan, walaupun mereka sedar persoalan bagaimana peta tersebut boleh memaparkan Antartika masih menjadi misteri. Tetapi Mallerey masih sangsi dengan peta itu. Beliau merasakan ada yang tidak kena dengan peta itu. Seakan-akan ada sesuatu yang lebih luar biasa yang ingin diberitahukan oleh helaian kulit rusa yang berbau hamis itu.

Akhirnya dengan bantuan US Navy Hydrographic Bureau, Mallerey membuat sebuah grid dan memindahkan peta itu ke dalam sebuah glob. Betapa terkejutnya Mallerey kerana peta tersebut didapati ternyata sangat TEPAT!

Kajian demi kajian terus dilakukan ke atas peta yang menghairankan ramai cendekiawan itu.

Kajian lanjutan dilakukan oleh Professor Charles H Hapgood dan Richard W Strachan. Mereka telah mengkaji peta ini berkali-kali dan akhirnya menjumpai satu aspek yang tidak diketahui para pengkaji sebelum mereka. Suatu perkara yang benar-benar mustahil dan luar biasa. Mereka menemukan bahawa peta kuno itu berkemungkinan merupakan gambar aerial yang difotokan dari suatu ketinggian tertentu. Sungai, lembah, pegunungan, pulau dan padang pasir, digambarkan dengan ketepatan fotografi yang amat tinggi. Dan tahap fotografi yang tinggi ini hanya dapat dicapai dengan menggunakan satelit!!

Siapakah yang membuat peta yang menakjubkan itu? Bagaimana beliau dapat membuat peta yang begitu tepat dan canggih, yang pada masa kini hanya dapat dilakukan dengan menggunakan satelit? Adakah beliau berasal dari puak Viking, yang terkenal sebagai pelaut yang handal? Atau setidak-tidaknya penjelajah Sepanyol atau Portugis yang mendabik dada kononnya merekalah orang pertama yang mengelilingi dunia? (walaupun sebenarnya Ferdinand Magellan tidak pernah menghabiskan pelayarannya kerana terbunuh di Filipina, tetapi dihabiskan oleh Henry The Black atau Enrique dalam dialek Sepanyol yang nama sebenarnya Hitam berasal dari kepulauan Melayu dan sememangnya orang Melayu!)

Tidak, si pembuat peta ini bukanlah dari kalangan orang Eropah yang kononnya amat pandai dari semua bidang.

Peta itu adalah karya Muhiddin Piri Reis. Beliau ialah seorang pelaut, laksamana angkatan tentera laut Turki dan kartografer Muslim terkemuka dari abad ke-16.



RIWAYAT MUHIDDIN PIRI REIS

Piri Reis lahir pada tahun 1465, di Gallipoli, Turki, yang merupakan wilayah pantai. Ayahnya bernama Haci Mehmet, sedangkan bapa saudaranya merupakan seorang laksamana terkenal ketika itu, Kemal Reis.

Seperti anak-anak yang pada umumnya yang dipengaruhi suasana sekelilingnya, sejak kecil lagi beliau bergelut dengan pantai dan kebiasaan untuk berlayar. Tidak menghairankan ketika umurnya baru 12 tahun, beliau telah bergabung bersama bapa saudaranya, Kemal Reis.

Meskipun masih remaja, rupanya beliau sarat dengan pengetahuan. Beliau tidak merasa kekok berlayar bersama bapa saudaranya. Dan itu rupanya menjadi petanda awal kepada kerjayanya mengharungi lautan dan samudera bersama Kemal Reis. Selama 14 tahun Kemal Reis memberi bimbingan kepada anak saudaranya itu.

Kesultanan Uthmaniyyah telah memberinya kedudukan terhormat kepada beliau dalam Angkatan Laut Diraja pada tahun 1494. Tambahan pula dengan kehadirannya telah menjadikan angkatan laut Kesultanan Uthmaniyyah semakin kuat. Mereka terkenal, dengan perjuangan tanpa putus asa bagi menegakkan Islam.

Kemasukan Kemal Reis ke dalam Angkatan Laut Diraja telah membawa Piri bersama-sama juga ke dalamnya. Ia tetap berada di bawah arahan bapa saudaranya, walaupun beliau telah mulai dipercayai untuk menjadi pemimpin bagi pasukan kecil.

Meskipun sibuk dengan urusan Tentera Dirajanya, namun apabila beliau mempunyai kelapangan Piri seringkali pulang ke kampung halamannya. Di sana beliau akan mencatatkan setiap perjalanannya selama ini ke dalam sebuah karya; peta. Akhirnya terbukti, pada tahun 1513 ia mampu menghasilkan sebuah peta dunia. Dalam karyanya itu, ia memetakan Laut Atlantik serta pantai-pantai di Eropah, karyanya diberi tajuk I-Bahriye.

Pada tahun 1516-1517, Piri Reis diberi mandat bagi memimpin sebuah pasukan KerajaanUthmaniyyah untuk pergi melawan Mesir. Dalam kesempatan ini Piri telah berlayar ke Kaherah melalui Nil dan kemudian menggambarkannya ke dalam sebuah peta dan memberikan maklumat yang terperinci tentang wilayah tersebut.

Setelah Mesir bergabung dengan Kesultanan Uthmaniyyah, Piri memiliki pula kesempatan melakukan hubungan peribadi dengan pemegang tampuk kekuasaan di sana, Yavuz Selim. Maka beliau memperlihatkan peta hasil buatannya kepada sultan. Hasil karyanya itu juga dimasukkan ke dalam Bahriye.

Piri juga pernah mengalami pertempuran yang dahsyat ketika bersama bapa saudaranya disaat melawan pasukan dari Venesia pada tahun 1520. Dan pasukan Uthmaniyyah ketika itu akhirnya berjaya menewaskan musuhnya. Kejadian ini merupakan kemenangan yang besar bagi Kerajaan Uthmaniyyah.

Kegembiraan yang beliau rasakan kemudian berubah menjadi duka. Bapa saudaranya yang dikasihinya, Kemal Reis telah mati akhirnya. Untuk menggantikan posisi Kemal Reis, pihak pemerintah kemudian melantik Piri Reis untuk menjadi Laksamana Kesultanan Uthmaniyyah.

Meskipun Piri telah menjadi laksamana yang begitu padat kegiatannya, beliau tetap meluangkan masa untuk menuliskan catatan setiap perjalanannya. Pada tahun 1528 hingga 1529, Piri melengkapi peta pertamanya yang tercantum dalam I-Bahriye.

Kali ini, beliau berhasil memetakan wilayah Barat Daya Atlantik, sebuah wilayah yang disebut dunia baru yang terletak dari Venezuela hingga ke bahagian selatan Greenland. Jadi, tidaklah hanya kemenangan di laut yang beliau mampu rasakan.

Dengan kenyataan ini, Piri Reis juga telah memberikan sumbangan bagi ilmu pengetahuan, terutama Geografi dan Nautika atau Ilmu Pelayaran. Ilmu yang mereka kembangkan tidak hanya berguna bagi kalangan Islam, namun kepada seluruh dunia.

Laksamana Piri Reis telah memberikan sumbangan bagi kebesaran Kesultanan Uthmaniyyah, juga keharuman Islam. Ia telah melakarkan prestasi besar dengan karyanya I-Bahriye yang menjadi panduan bagi orang-orang selepasnya dalam mengharungi dunia pelayaran. Beliau akhirnya meninggal dunia pada tahun 1554.

Semua karyanya akhirnya dijumpai dalam dunia moden. Itulah yang diceritakan pada awal artikel ini. Ketepatannya dan bagaimana ia difoto dari pandangan atas amat menghairankan ramai orang. Sehingga ada pendapat yang mengatakan ia menggunakan teknologi makhluk asing untuk menghasilkan peta tersebut! Ada juga pendapat yang mengatakan ia adalah peta yang dibuat oleh bangsa-bangsa yang hilang seperti Atlantis ataupun Lemuria. Bangsa-bangsa ini dikatakan mempunyai tamadun dan teknologi yang tinggi.

Bagaimana Piri Reis membuat peta yang begitu tepat? Mujurlah Piri Reis bukanlah seorang yang kedekut ilmu, tidak seperti sesetengah puak seperti Illuminati yang baru dapat secubit ilmu sudah berlagak sombong dan mengaku Tuhan. Piri menyatakan bahawa peta itu dibuat berdasarkan 34 sumber yang berbeza-beza. Ada 20 peta dari zaman Alexander yang Agung, 8 peta karya ahli geografi Muslim, 4 peta Portugis, dan 1 peta hasil karya Columbus.

Kemudian peta itu disaring, dikaji ketepatannya dan diubahsuai mengikut kepakaran kartografi Piri yang sememangnya banyak pengalaman dan akhirnya kesemua peta tadi diringkaskan untuk dijadikan sebagai satu peta dunia. Ini bersesuaian dengan pengakuan Piri Reis;

''Di dalam abad ini (Pada masa Piri hidup), tidak ada peta seperti peta ini sebelumnya, '' kata Piri Reis lagi, ''Ia dibuat dengan cara menggabungkan keseluruhan peta menjadi satu skala peta maka hadirlah peta yang benar dan yang dapat dipercayai ...''

Walaupun begitu, bagaimana Piri membuat pengubahsuaian sehingga menghasilkan peta yang begitu tepat dan benar melampaui kronologi sejarah amat mengkagumkan. Malah sangat tepat jika ditinjau dari segi kronologi geografi.

Contohnya, Greenland digambarkan sebagai dua buah pulau yang berbeza. Kejanggalan ini akhirnya berakhir setelah dibuktikan oleh para penyelidik Perancis yang telah melakukan kajian ke atas ekspedisi ke kutub. Mereka menyatakan bahawa ketika itu terjadi gempa bumi yang membuatkan lapisan ais merekah dan menghasilkan ruang pemisah atau belahan pada Greenland.

Pada Januari 1966, di majalah Fate, Profesor Charles H Hapgood menjelaskan penemuan yang mengagumkan tersebut. Ini merupakan perkara yang luar biasa, Piri dapat memetakan sebuah wilayah yang dimana seorang pun tidak dapat menemui Antartika ketika itu sehinggalah tahun 1818.

Menariknya, Hapgood benar-benar tercengang, betapa lengkapnya peta tersebut dan langsung mengubah anggapannya selama ini bahawa orang-orang Islam tidak memiliki ilmu kartografi yang baik!. Ilmuwan Jerman, P Kahle, melakukan analisis dan mengiktiraf bahawa Piri merupakan seorang ahli kartografi yang handal dan terhebat sepanjang zaman.

Jadi bagaimana dengan kita sebagai umat Islam?Adakah kita masih memikirkan bahawa Islamlah pembawa kemunduran, kolot dan ketinggalan zaman? (atau agama keganasan?-ini adalah pandangan paling primitif pada masa kini). Kita diajar di sekolah tentang sumbangan tokoh-tokoh Barat kepada kemajuan dunia, sehingga tergenggam ijazah di tangan pun masih manis mulut memuji-muji kecerdikan tokoh-tokoh Barat.

Tahukah anda para sarjana Barat benar-benar mengagumi para ilmuwan Islam dahulukala? Tahukah anda bahawa untuk membina superkomputer Blue Gene/L (ini adalah superkomputer yang terpantas di dunia, selaju 136.8 teraflop persaat-trillion pengiraan titik perpuluhan persaat) nenek moyang para jurutera IBM yang hidup pada zaman kegelapan Eropah terpaksa melutut meminta secebis ilmu daripada pensyarah-pensyarah mereka yang beragama Islam di universiti-universiti seluruh empayar Islam. Para cendekiawan Barat hari ini telah menulis banyak buku yang merakam sumbangan dunia Islam kepada dunia. Tetapi buku-buku seperti ini cuba digam, diharamkan atau disabotaj oleh pihak-pihak tertentu.

Inilah yang berlaku kepada Pengurus Besar Syarikat Hewlett Packard, Minnesota di Amerika Syarikat iaitu Carly Florina, di dalam ucap tamanya ketika pelancaran produk syarikat komputernya, pada 26 September 2001, merakamkan pandangan ikhlas seperti berikut:

"at this civilisation was driven more than anything by invention. Its architect designed buildings that defied gravity. Its matematicians created the algebra and logarithms that would enable the building of computers, and the creation of encryption. Its doctors examined the human body, and found new cures for disease. Its astronomers looked into the heavens, named the stars, and paved the way for the travel and exploration.

While other nation were afraid of ideas, this civilisation thrived on them and kept them alive. When censors threated to wipe out knowledge from past civilisations, this civilisation kept the knowledge alive, and pass it on to others.

The civilisation I'm talking about was the Islamic World, from the year 800 to 1600 which included Ottoman Empire, and the court of Baghdad, Damascus and Cairo, and elightened rulers like Sulaiman the Magnificent"

Maksudnya:

"Tamadun ini digerakkan menerusi penciptaan melebihi daripada yang lain. Arkiteknya mereka bentuk bangunan yang menentang graviti. Ahli matematiknya mengasaskan algebra dan logaritma yang membolehkan pembinaan komputer, dan penciptaan kod rahsia. Doktornya menyelidiki tubuh manusia lalu menemui ubat baru untuk penyakit. Ahli astronominya menyelidiki langit dan menamakan bintang-bintang, membuka kearah perjalanan dan pengembaraan. Sementara sedang bangsa lain takutkan idea, tamadun ini terus ke hadapan memajukannya. Apabila terdapat halangan mengancam ilmu pengetahuan daripada tamadun silam, tamadun ini pula terus menghidupkan ilmu pengetahuan dan mengembangkannya kepada tamadun lain.

Tamadun yang saya maksudkan ialah tamadun Islam dari tahun 800 hingga 1600 yang merangkumi kerajaan Uthmaniyyah dan kerajaan Baghdad, Damsyik dan Kaherah serta pemimpin yang cemerlang seperti Sulaiman yang Agung"

Demikianlah seorang pengurus syarikat komputer yang terkenal, memberikan pendapat ikhlasnya dan meletakkan penghargaan yang begitu tinggi kepada tamadun Islam. Hanya orang yang berfikiran sempit sahaja yang berangan-angan mahu murtad dengan segera kerana menganggap Islam adalah agama kampungan, jumud, kolot dan ketinggalan zaman. Sedangkan orang-orang Barat yang berpendidikan tinggi secara peribadinya (walaupun mereka berusaha menyorokkan pendapat mereka) mengakui peranan Islam terhadap ketamadunan dunia. Namun masih ada segelintir dari mereka yang berani mengakuinya di khalayak ramai, walaupun selepas itu mereka dikenakan pelbagai tindakan dan hukuman.

Tidak lama selepas Carly Florina membuat ucap tama tersebut, beliau telah dipecat dari jawatannya...

Inilah Barat, masih angkuh, sombong dan tetap mahu mengubah sejarah...

SUMBER :





Berfesyen ikut syariat ???



Perlu pilih fesyen yang bersesuaian untuk dipakai sehari-hari agar tidak bertentangan dengan syariat. 

Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. 

Daripada Abdullah Ibnu Masud, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: 


“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah. Maka berkata seorang lelaki kepada Baginda: Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik. Balas Baginda SAW: Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong melenyapkan kebenaran dan kehinaan kepada manusia.” 

(Riwayat Imam Muslim) 

Rasulullah SAW tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan Allah itu sifat-Nya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah SAW melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya. 


Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa saja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang Muslim mahupun Muslimah dalam berpakaian. 

Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah memastikan pakaian menutup aurat. Aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat orang lain. 


Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke lembah dosa. Aurat bagi lelaki antara kawasan pusat dan lututnya, manakala bagi wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua-dua pergelangan tangannya. 

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh terutama kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan seperti mana diriwayatkan Imam Muslim dalam sahihnya antara golongan akan diazab Allah dalam api neraka adalah perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita yang memakai pakaian mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. 

Ulama terkenal, Sheikh Muhammad Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadis ini menyatakan yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian tubuh badannya. 

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh seperti diterangkan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’. 

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi SAW melarang terikut-ikut budaya luar yang kadangkala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutama dalam kalangan pemuda-pemudi. 

Nabi SAW bersabda: 


“Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan itu.” 

(Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi) 

Hadis ini melarang umat Islam terikut-ikut budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian. Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian mempunyai gambar salib, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. 

Inilah realiti umat Islam akhir zaman seperti dinyatakan Nabi SAW: “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya.” (Hadis muttafaq alaih) 

Sesungguhnya Islam melarang umatnya menyerupai golongan berlainan jantina termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki adalah haram kerana ia berlawanan fitrah asal penciptaan manusia dalam tingkah laku dan pemakaian. 

Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri wanita seperti memakai pakaian diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir dan pewarna kuku. 

Nabi SAW bersabda: 


“Sesungguhnya Allah SWT melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita memakai pakaian lelaki.” 

(Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad) 

Nabi SAW menganjurkan kita bersederhana dalam segala perkara termasuk ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. 

Antara larangan Nabi SAW dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian kebiasaan. 

Hal ini untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong dalam jiwa pemakai. Nabi SAW bersabda: 


“Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah SWT akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat.” 

(Direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah) 

Islam tidak melarang seseorang untuk berfesyen namun perlulah mengikut seperti yang digariskan syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Bagaimanakah niat kita berfesyen? 


Kita sewajibnya menghiaskan fesyen yang diharuskan syarak dengan penuh ketakwaan seperti firman Allah SWT: 

“Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.”

copy & paste

10 Muwasafat Tarbiyah - Imam Hasan Al Banna


Apakah itu Muwasafat Tarbiyah?
Muwasafat Tarbiyah adalah kriteria yang perlu ditanamkan dalam diri untuk membentuk keperibadian Muslim yang unggul. Insyaallah.

1) Aqidah Sejahtera (Salim-ul Aqidah)
Tidak menjampi kecuali dengan al-Quran yang ma’thur
Tidak berhubung dengan Jin
Tidak meminta bantuan dari orang yang meminta bantuan jin
Tidak menenung nasib
Tidak mendekati tukang tilik
Tidak mengusap kubur
Tidak meminta bantuan dari simati
Tidak bersumpah dengan selain Allah
Tidak mempercayai adanya sial
Mengikhlaskan amal kerana Allah
Mengimani rukun-rukun Iman
Mensyukuri Allah swt ketika menerima nikmat
Sentiasa sedar Syaitan adalah musuh
Menerima sepenuhnya dari Allah dan menolak sesuatu yang diturunkan selain Allah swt

2) Ibadah Yang Sahih (Shahih-ul 'Ibadah)
Tidak menolak untuk melaungkan azan
Bersuci dengan sempurna
Sangat menghargai solat berjemaah
Sangat suka berjemaah di masjid
Memperbaiki mutu solat
Qiamullail seminggu sekali
Menunaikan zakat
Berpuasa wajib
Berpuasa sunat sehari setiap bulan
Ada niat untuk menunaikan haji
Beriltizam dengan adab-adab tilawah
Khusyuk ketka membaca al-Quran
Menghafaz 1 juzuk dari al-Quran
Berdoa pada waktu-waktu yang diutamakan
Mengakhiri harinya dengan taubat dan istighfar
Menjadikan setiap amalan mempunyai niat
Menjauhi dosa-dosa besar
Sentiasa membaca zikir pagi
Sentiasa membaca zikir petang
Mengingati Allah swt pada setiap situasi
Menunaikan Nazar
Menyebarkan Salam
Menahan anggota dari perkara haram
Beri’tikaf di bulan Ramadhan jika ada peluang
Menggunakan sugi/siwak
Sentiasa bersuci (berwudhuk) sedaya mungkin

3) Akhlak Yang Mantap (Matin-ul Khuluq)
Tidak takabbur
Mempunyai pendirian
Tidak menipu
Tidak mencaci
Tidak mengadu domba
Tidak mengumpat
Tidak berdusta
Tidak mengejek
Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan
Tidak berkawan dengan orang yang berkelakuan buruk
Mengasihi orang yang lebih muda
Menghormati orang yang lebih tua
Menunaikan janji
Menundukkan pandangan
Menjaga rahsia
Menutup dosa orang lain
Cemburu terhadap isteri
Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya

4) Mampu Berdikari (Qadirun 'Ala-l Kasbi)
Menjauhi pekerjaaan yang haram
Menjauhi riba
Menjauhi judi
Menjauhi penipuan
Menunaikan zakat
Membuat simpanan walaupun sedikit
Tidak menangguh-nangguhkan tugasan yang diamanahkan
Memelihara harta awam
Memelihara harta peribadi

5) Berpengetahuan luas (Mutsaqqaf-ul Fikri)
Mampu membaca dan menulis dengan baik
Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran
Memelihara hukum-hukum tilawah
Menghafaz setengah dari hadith 40
Menghafaz 20 hadith dari Riyadhusshalihin
Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yang penting
Mengenali sepuluh orang yang dijanjikan Syurga
Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci
Mengetahui hukum-hukum solat
Mengetahui hukum-hukum puasa
Membaca sesuatu di luar bidangnya. 4 jam seminggu
Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden
Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam
Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yg menyeleweng
Mengetahui aspek keburukan dari perancang keluarga
Mendengar dengan baik
Mampu memberikan pandangan
Bersedia menerima tugas-tugas kolektif
Tidak menerima syubahat yang dilemparkan keatas kita

6) Tubuh Yang Cergas (Qawwiy-ul Jism)
Bersih tubuh badan
Bersih pakaian
Tempat tinggal yang bersih
Beriltizam dgn sunnah (adab) makan dan minum
Tidak berjaga malam berlebihan
Iltizam dgn senaman 2 jam seminggu
Bangun sebelum terbit fajar/subuh
Mematuhi kaedah membaca dari aspek kesihatan
Meninggalkan tabiat merokok
Menjauhi tempat-tempat kotor
Menjauhi tempat-tempat berpenyakit

7) Menguasai Diri (Mujahadat-ul Li Nafsi)
Menjauhi perkara-perkara haram
Menjauhi tempat-tempat lalai yang diharamkan
Meninggalkan tempat-tempat maksiat

8)Teratur urusannya (Munazhzhamun Fi Syu'unihi)
Penampilan yang elok
Tidak mempunyai hubungan dengan pihak yang menentang Islam

9)Sangat Menghargai Masa (Harishun 'Ala Waqtihi)
Bangun awal
Menggunakan masa tertentu untuk belajar

10)Bermanfaat Kepada Orang Lain (Nafi'un Li Ghairihi)
Menunaikan hak ibu bapa
Menyertai majlis-majlis kegembiraan
Membantu orang-orang yang memerlukan
Membimbing orang yang sesat
Berkahwin dengan pasangan yang sesuai




Perbezaan Cinta Sebelum dan Selepas Kahwin



Boleh saya tahu apa perbezaan cinta sebelum kahwin,selepas bertunang dan selepas kahwin? Mohon penjelasan!

Cinta Sebelum Kahwin

Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian.Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan.

Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

Pertama : 
Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka. 

Kedua :
Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta

Ketiga :
Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.

Keempat :
Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.

Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang

Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Bertunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan.


Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalalkan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya.


Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin

Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.

Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:


1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

Sedikit sebanyak penjelasan. Semoga ianya bermanfaat untuk anda semua.



Sunday 17 March 2013

Jarak itu menjaga Aku dan Dia...



Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu. Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa.
Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita berbeza bagi setiap individu.
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
[Ali 'Imran, 3:14]
Dalam diam, perasaan itu hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan baru semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku pendam. Aku sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa, perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata.
Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju



Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami, sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan takdir antara kami nanti.



Jarak ini menjaga aku dan dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku. Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK' ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.
"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra'd 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh. Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan sekeliling yang menekanku. Jika tidak kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari pelbagai alasan untuk bersama dia. Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya. Hatiku akan bertambah rindu saat mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku. Aku yakin semua ini rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan yang baik untuk aku dan dia


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...